Kasihanilah kami
Thursday, June 05, 2008
Seperti yang telah diketahui ramai,semalam PM mengumumkan harga minyak petrol di Malaysia naik sebanyak 40%(78 sen) dan diesel Rm1.00 seliter berkuatkuasa serta merta.Kenaikan tersebut telahpun dijangka ramai sejak sebelum PRU ke 12 lagi.Namun banyak pihak tidak menjangkakan akan kenaikan yang begitu ketara sekali dan kebanyakkannya menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan tersebut.Ini satu langkah yang merugikan bagi kerajaan dan akan menambah burukkan lagi kedudukan PM sendiri.Saya mengakui harga minyak di pasaran melambung tinggi sejak dari awal tahun lagi dan kerajaan perlu mengurangkan wang subsidi bagi menampung kenaikan harga tersebut.Tetapi kenaikan tersebut tidak seharusnya terlalu mendadak.Ekoran dari kenaikan sebegini,rakyat berpendapatan rendahlah yang paling akan merasa kesannya dan memeritkan lagi kehidupan mereka yang telah susah sebelum ini.Bak kata pepatah,sudah jatuh di timpa tangga pula.Majoriti rakyat di Malaysia masih berada di tahap berpendapatan rendah.Secara logiknya apabila minyak naik, harga-harga barang harian lain juga akan meningkat dengan serta merta.Rakyat akan mengurangkan perbelanjaan mereka dan kitaran pembelian serta pengeluaran akan terbantut dan menyebabkan ekonomi negara tidak berkembang.Saya baru mengimpikan untuk menukar kereta saya yang usianya sudah 11 tahun,namun disebabkan kenaikan harga minyak semalam hajat saya terpaksa dibatalkan dan mungkin terpaksa menunggu lagi 3 atau 5 tahun untuk saya membeli kereta yang baru.Tempahan kereta proton terpaksa dibatalkan.Cuba bayangkan jika 10,000 rakyat di Malaysia mengambil langkah yang sama.Akibatnya, perlambakan kereta-kereta proton di gudang-gudang dan Proton yang sebelum ini telah dibebankan dengan masalah penjualan dan hutang yang tinggi akan bertambah rugi,sekaligus merugikan kerajaan dan rakyat Malaysia.Oleh yang demikian, saya rasa kerajaan seharusnya menaikkan harga minyak pada harga yang tidak terlalu ketara (mungkin 20 sen) supaya kenaikan harga barang yang lain tidak keterlaluan dan mungkin menaikkan lagi harga mengikut kesesuaian semasa.Jangan dibandingkan harga minyak kita dengan harga minyak di Thailand dan Singapura.Kita pengeluar minyak dan minyak kita harganya tinggi di pasaran kerana mutunya yang tinggi.Bila minyak naik mendadak, untung petronas juga akan melambung tinggi.Saya difahamkan,petronas dengan mudah memperolehi RM40 billion ekoran kenaikan minyak tahun ini sahaja.Menteri Kewangan ke-2 menyatakan kerajaan terpaksa menanggung RM18.3 billion untuk subsidi minyak dan jika kenaikan sebanyak 78 sen dilaksanakan kerajaan dapat menjimatkan RM13 billion.Apa salahnya jika mengambil sedikit dari keuntungan mudah RM40 billion tersebut dan dijadikan tambahan kepada subsidi minyak untuk memastikan kenaikan minyak hanya pada sekitar 20 sen sahaja.Ini akan dapat melegakan banyak pihak terutamanya golongan-golongan miskin.Jika tidak dilakukan demikian,persoalan perlu ditanya kemanakah wang sebanyak RM40 billion dan penjimatan RM13 billion tersebut akan dibelanjakan.Kerajaan harus menghuraikan langkah-langkah yang akan dibuat dengan duit tersebut kepada rakyat.Adakah wang-wang tersebut akan dibelanjakan untuk menampung segala perbelanjaan bagi merealisasikan projek-projek mega koridor-koridor yang telah dicanangkan sebelum pilihanraya ataupun sebaliknya.Jika jawabnya untuk membangunkan koridor-koridor tersebut, soalan seterusnya adakah ianya akan memberi faedah secara langsung kepada rakyat-rakyat miskin atau hanya akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja.Adakah rakyat mahukan projek-projek ini atau mereka mahukan kehidupan lebih selesa tanpa perlu memikirkan lagi rumah mereka yang bocor,dan segala perbelanjaan yang meningkat bagi menampung keperluan anak-anak mereka yang ramai.
|